Selamat datang ke Portal Kenali Serangga Perosak Koko di Malaysia yang dibina oleh Lembaga Koko Malaysia. Portal ini akan memberi penerangan berkaitan serangga perosak yang boleh ditemui di ekosistem koko. Penerangan berkaitan setiap perosak mahupun penyakit ini akan dibantu dengan gambar-gambar serangga, perosak lain mahupun penyakit, berserta simptom-simptom bagi memudahkan pengguna mengakses Portal ini.

[Muatturun Brosur CROPED]

Pengenalan

Portal Kenali Serangga Perosak Koko di Malaysia ini dibina bagi memberi maklumat berkaitan perosak serta penyakit yang boleh ditemui di ekosistem koko. Di sini perosak dibahagikan kepada serangga serta perosak lain. Perosak lain yang boleh ditemui di ekosistem koko adalah seperti tikus, tupai, cencurut, kera, musang dan monyet. Bagi serangga pula, terdapat lebih dari 200 spesies serangga telah direkodkan di ekosistem koko Malaysia, namun sebilangan besar dianggap tidak mendatangkan risiko keburukan kepada tanaman koko. Hanya terdapat beberapa serangga yang dianggap berbahaya seperti Ulat Pengorek Buah Koko, Kepinding Nyamuk, Ulat Pengorek Batang, Serangga Perosak Akar Koko yang boleh mendatangkan kesan serius kepada tanaman koko di Malaysia. Manakala bagi penyakit pula, terdapat beberapa penyakit berbahaya seperti Penyakit Mati Rosot Jejalur Vaskular (Vascular Streak Dieback), Penyakit Buah Perang, Penyakit Buah Hitam dan Hawar Bebenang yang akan mendatangkan kerosakan terutama sekiranya tiada langkah kawalan dilaksanakan. Pengetahuan berkaitan perosak dan penyakit koko dapat membantu golongan sasaran, terutama pekebun koko untuk mengenalpasti simptom perosak atau penyakit yang mungkin berpotensi merosakkan tanaman koko. Selain itu, Portal ini boleh dijadikan rujukan dan panduan kepada kakitangan LKM, pelajar-pelajar serta orang awam dalam mengenali lebih dekat berkaitan perosak dan penyakit di persekitaran koko. Gambar-gambar serangga, perosak  dan penyakit serta maklumat terperinci dipaparkan di Portal ini bagi memudahkan pengguna melayari dan membuat pengecaman awal terhadap masalah sebelum tindakan susulan terutama melibatkan pengawalan dapat dilaksanakan.

Objektif

  • Sebagai pangkalan data maklumat berkaitan perosak dan penyakit di ekosistem koko.
  • Memudahkan akses maklumat berkaitan perosak dan penyakit koko dengan melihat kepada gambar dan keterangan yang diberikan.
  • Sumber rujukan kepada golongan sasar yang berminat mendalami bidang entomologi dan patologi koko.

Golongan Sasaran

  • Pekebun kecil koko
  • Kakitangan LKM
  • Pelajar
  • Orang awam